Assalamualaikum
Salam TS25 SKI
Jom kita berbicara seketika mengenai tajuk di atas.
Malaysia merupakan sebuah negara yang berkembang pesat seiring dengan
ledakan globalisasi pada masa kini. Dalam menuju ke arah pendidikan
bertaraf dunia, Malaysia perlu membawa suatu perubahan yang akan memberi
kesan kepada dunia pendidikan. Oleh itu, Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) telah meneliti perkara-perkara yang perlu dilaksanakan
dan berusaha untuk menjayakan usaha tersebut. Bersesuaian dengan
matlamat dan zaman, KPM telah melaksanakan pembelajaran abad ke-21 (PAK21) bermula pada tahun 2014.
Kini, PAK21 telah menjadi satu isu yang hangat dalam dunia pendidikan
kerana ia dilihat mampu memenuhi keperluan pendidikan pada masa kini,
di samping membawa perubahan baru dalam dunia pendidikan. PAK21 dikatakan sebagai proses pembelajaran yang berpusatkan kepada murid.
Terdapat beberapa elemen yang diterapkan, iaitu komunikasi,
kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti serta aplikasi nilai murni dan
etika. Elemen-elemen ini juga disebut sebagai standard asas dalam
PAK21. Adakah elemen-elemen ini memberi kesan positif kepada
murid-murid?
Komunikasi
Secara umumnya, komunikasi merupakan suatu proses pertukaran maklumat
daripada individu kepada individu yang lain. Dalam konteks pendidikan,
komunikasi merujuk kepada perbualan yang berlaku di antara guru dan
murid atau murid dan murid untuk berkongsi ilmu yang difahami bersama
rakan-rakan lain. Ini yang dikatakan sebagai komunikasi berpusatkan
murid. Namun begitu, jika guru tidak memainkan peranannya dengan baik,
komunikasi yang berkesan tidak akan terhasil semasa proses pembelajaran
berlangsung.
Sebagai contoh, guru ingin mewujudkan komunikasi dua hala dalam
kalangan murid-muridnya melalui pembentangan mengenai tajuk yang diberi
dan meminta murid-murid untuk berbincang di dalam kumpulan masing-masing
sebelum memulakan pembentangan di hadapan kelas. Pada masa yang sama,
guru juga perlu memainkan peranannya sebagai fasilitator kepada
muridnya. Guru hendaklah memantau cara penyampaian murid-muridnya supaya
pembentangan tersebut menjadi pembentangan yang berkesan serta dapat
memberikan maklumat yang berkualiti kepada murid lain.
Bagi pembangunan diri murid itu sendiri, guru boleh memberi komen
yang membina dari segi penggunaan bahasa badan, nada suara, tulisan,
cara bertanya kepada rakan-rakan lain, cara menjawab soalan yang diaju,
cara memberi maklum balas jika rakan bertanya soalan yang tidak dijangka
dan sebagainya.
Oleh yang demikian, murid-murid dapat membina keyakinan diri semasa
berinteraksi bersama rakan-rakan lain kerana mereka mampu mendengar dan
memberi maklum balas, mampu untuk memberi penerangan yang jelas dan
ringkas, memahami kaedah-kaedah untuk menyampaikan maklumat dan juga
mereka akan berasa lebih terbuka jika diminta untuk mengulas sebarang
topik.
Kolaboratif
Kolaboratif
merujuk kepada sesuatu yang dilakukan secara bersama-sama atau
berkumpulan. Kolaboratif dalam dunia pendidikan pula adalah kerjasama
yang wujud antara guru dan murid atau murid dan murid secara aktif dan
menyeluruh, di mana, ia melibatkan pertukaran idea, pendapat atau
pengetahuan antara murid-murid. Bagi elemen ini, guru perlu memahami
gaya pembelajaran muridnya.
Terdapat murid yang tidak suka membuat tugasan secara berkumpulan
disebabkan beberapa faktor. Sesetengah murid tidak selesa membuat
perbincangan bersama rakan-rakan kerana ideanya seringkali dipandang
sepi oleh ahli kumpulannya, di samping hubungan antara ahli kumpulan
yang tidak begitu mesra antara satu sama lain.
Oleh itu, guru perlu menarik perhatian mereka supaya tugasan
berkumpulan kelihatan lebih seronok pada pandangan mereka. Ada
sesetengah murid pula seronok jika diberi tugasan berkumpulan kerana
mereka tidak perlu mengerah otak untuk memikirkan idea-idea yang bernas,
sebaliknya dibiarkan rakan-rakan sahaja menyelesaikan tugasan yang
diberi.
Dalam hal ini, guru bertanggungjawab untuk menyelesaikan
masalah-masalah sebegini kerana jika elemen ini dapat dilaksanakan
dengan berkesan, ia dapat membantu murid-murid dalam meningkatkan
pencapaian mereka dari masa ke masa.
Sekiranya wujud suasana kelas yang kolaboratif, maka, ia akan membawa
kepada metakognitif, iaitu kesedaran murid-murid tentang perkara yang
diketahui dan tidak diketahui semasa proses pembelajarannya. Melalui
kolaborasi, guru boleh menerapkan beberapa nilai positif dalam diri
murid itu sendiri, seperti bertanggungjawab terhadap tugasan dalam
kumpulan, penglibatan aktif atau seimbang, bersikap terbuka untuk
menerima idea dan pandangan rakan-rakan lain serta mengeratkan hubungan
silaturrahim dalam kalangan mereka. Jadi, guru adalah insan yang paling
sesuai untuk melakukan sesuatu perkara dalam memancing emosi dan
perhatian murid-muridnya.
Pemikiran Kritis
Ada sesetengah pihak seringkali keliru dengan istilah pemikiran
kritis dan kreatif. Ia merupakan dua istilah yang berbeza. Secara amnya,
pemikiran kritis merujuk kepada keupayaan individu untuk membuat
penilaian mengenai sesuatu perkara, termasuk kebaikan dan kelemahannya.
Dari sudut pendidikan, pemikiran kritis berlaku apabila murid-murid mula
meneroka pemikiran mereka untuk menilai idea-idea yang diterima secara
rasional dan membuat pertimbangan mengenai idea tersebut melalui
penggunaan alasan-alasan yang wajar.
Pemikiran kritis boleh terhasil dengan berkesan melalui beberapa
cara, seperti penggunaan sumber yang meluas. Sumber yang meluas merujuk
kepada maklumat yang diperoleh oleh murid-murid. Oleh itu, guru perlu
memantau sama ada maklumat yang dicari oleh murid bersesuaian dengan
topik pembelajaran ataupun tidak. Guru juga perlu memastikan muridnya
mahir untuk mencari maklumat yang berkaitan dan menilai sama ada
maklumat yang diperoleh itu cukup atau tidak untuk melaksanakan tugasan
yang diberi.
Kemudian, pemikiran kritis yang berkesan boleh terhasil sekiranya
guru tidak mengehadkan idea dan pendapat murid-muridnya. Di dalam kelas
abad ke-21, guru seharusnya menggalakkan murid untuk memberi pandangan
tentang sesuatu topik yang sedang dibincang. Pandangan yang tidak
tersasar daripada topik perbincangan harus diterima oleh guru supaya
murid-murid berasa selesa dan seronok untuk mengutarakan idea-idea
mereka.
Dari situ, guru boleh menilai tahap pemikiran muridnya terhadap
sesuatu perkara. Adakah mereka melihat sesuatu perkara daripada sudut
yang berbeza? Jika ya, ini bermakna murid tersebut telah berfikir secara
kritis.
Seterusnya, guru juga boleh menerapkan elemen perbahasan semasa
proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) berlangsung. Bagi memulakan
sesi PDP, guru perlu meminta murid untuk memberikan idea atau pandangan
mengenai tajuk pembelajaran pada hari tersebut. Idea yang diberi tidak
perlu dibincangkan, tetapi, guru perlu bertanya kepada murid mengapa
idea tersebut yang diberi.
Guru juga perlu memberi galakan kepada murid-murid lain untuk
membahas idea tersebut supaya mereka dapat menjana pelbagai pandangan
dan pengetahuan.
Oleh yang demikian, elemen pemikiran kritis berjaya diterapkan dalam
diri murid-murid melalui sesi PDP yang dilaksanakan oleh guru. Ia
berlaku hanya dengan penerapan beberapa perkara penting, seperti
memiliki maklumat yang sesuai berdasarkan tajuk, mempunyai sikap ingin
tahu dan bersedia untuk meneroka sesuatu topik melalui pembacaan, soal
jawab bersama guru dan rakan serta melaksanakan aktiviti hands-on
bagi mendapatkan sesuatu maklumat, di samping mampu membuat sesuatu
keputusan berdasarkan maklumat-maklumat yang diperoleh dan berupaya
untuk mempertahankan keputusan tersebut dengan menggunakan bukti-bukti
yang berasas.
Murid yang berfikiran kritis adalah murid yang berfikiran terbuka, di
mana, mereka mudah untuk menerima pandangan atau idea yang dikemukakan
oleh rakan-rakan lain serta tidak merendah-rendahkan idea yang diterima.
Dengan ini, guru-guru perlu mengenali setiap muridnya supaya elemen ini
lebih mudah diterapkan semasa PDP berlangsung.
Kreativiti
Kreativiti merujuk kepada sesuatu proses yang berlaku, di mana, ia
melibatkan penghasilan sesuatu yang baru, berguna dan juga berkualiti.
Elemen ini juga merupakan salah satu elemen yang penting untuk
diterapkan dalam diri murid. Hal ini demikian kerana kreativiti bersifat
meluas yang melibatkan sesuatu projek dan juga pemikiran murid itu
sendiri. Mereka perlu berfikir di luar kotak untuk menghasilkan sesuatu
ciptaan yang baru dan berguna.
Dalam kelas abad ke-21, guru boleh meminta muridnya untuk
menghasilkan sesuatu produk yang unik, iaitu produk yang lain daripada
produk sedia ada. Perkara ini amat bersesuaian dengan ciri-ciri kelas abad ke-21,
iaitu pembelajaran berpusatkan murid. Walau bagaimanapun, murid-murid
masih memerlukan bimbingan daripada seorang guru. Guru perlu menilai
sama ada produk yang dihasilkan oleh murid adalah sebuah produk yang
baru atau sedia ada, di samping meneliti keunikan dan keaslian produk
itu sendiri. Komen-komen yang praktikal perlu diberi supaya murid dapat
membuat penambahbaikan terhadap produk ciptaannya.
Selain itu, guru perlu meminta murid untuk memberi penerangan tentang
produk yang dihasilkan. Dari situ, guru boleh menilai sama ada murid
tesebut mampu memberi hujah-hujah yang kukuh atau tidak dalam
mempertahankan keistimewaan produk ciptaannya. Di sini guru boleh
menerapkan unsur pemikiran kritis dengan meminta murid-murid lain untuk
turut memberi pandangan dan idea bagi tujuan penambahbaikan terhadap
produk tersebut. Oleh yang demikian, setiap murid dapat menjana pelbagai
idea daripada rakan-rakan mereka sendiri.
Guru hanya perlu membimbing muridnya untuk berfikir mengenai sesuatu
perkara daripada pelbagai sudut. Dengan itu, hasil sesi PDP yang
dilaksanakan oleh guru akan menghasilkan murid-murid yang berani
mengambil risiko, seperti berani untuk mengemukakan idea tanpa merasa
bimbang terhadap kritikan yang bakal diterima, di samping berupaya untuk
berpandangan jauh tentang sesuatu perkara.
Nilai Murni dan Etika
Nilai murni boleh ditakrifkan sebagai tingkah laku yang baik, beradab
dan menjaga tatasusila, manakala, etika pula merujuk kepada
keperibadian atau perwatakan seseorang. Dalam dunia pendidikan, elemen
ini amat penting untuk diterapkan dalam diri murid-murid supaya ia dapat
membentuk jati diri yang tinggi. Guru merupakan insan yang paling rapat
dengan murid ketika mereka berada di sekolah. Oleh itu, guru seharusnya
berusaha untuk menerapkan nilai-nilai yang positif dalam diri
murid-murid semasa sesi PDP berlangsung.
Ketika sesi PDP, guru boleh meminta murid untuk menyatakan nilai
murni yang bersesuaian dengan topik pembelajaran pada hari tersebut.
Kemudian, guru perlu menilai sama ada murid tersebut memahami nilai
murni yang dinyatakan ataupun tidak. Jika mereka memahami nilai murni
tersebut, guru perlu melihat pula dari segi kelakuannya. Adakah mereka
tahu cara-cara untuk menerapkan nilai-nilai murni itu dalam tingkah laku
mereka? Di sini, guru memainkan peranan yang amat penting dalam
mendidik murid-murid untuk sentiasa berkelakuan sopan.
Terdapat sesetengah murid yang suka untuk merendah-rendahkan
rakan-rakan yang mengamalkan nilai-nilai murni. Namun begitu, jika guru
berupaya untuk mengubah persepsi mereka terhadap nilai murni, maka,
terhasillah seorang murid yang beretika dan berkelakuan baik. Guru perlu
meminta mereka untuk memberi pandangan tentang nilai-nilai murni dan
etika yang harus diterapkan dalam diri mereka, dari segi kesan amalan
nilai tersebut terhadap diri, masyarakat, agama dan juga negara.
Guru juga boleh memberi penghargaan kepada murid yang sentiasa
mengamalkan nilai-nilai yang dipelajari semasa sesi PDP. Perkara ini
boleh menjadi satu galakan kepada murid-murid lain untuk bersama-sama
mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu,
guru perlu kreatif dan kritis dalam mendidik murid-murid untuk
menjadikan mereka seorang insan yang berguna dan berkualiti setelah
tamat alam persekolahan kelak.
Kelas abad ke-21 ini amat sesuai dilaksanakan kerana ia banyak
memberi impak-impak yang positif dalam diri murid. Dengan wujudnya kelas
abad ke-21 ini, murid-murid akan dilatih untuk memiliki kemahiran yang
boleh digunakan pada masa akan datang, seperti kemahiran komunikasi yang
baik, mampu berkolaborasi dan menyelesaikan masalah berdasarkan realiti
kehidupan. Selain itu, murid juga bersedia untuk menghadapi
peperiksaan, di mana peperiksaan kini diterapkan dengan unsur-unsur kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).
Ia tidak menjadi masalah bagi murid itu sendiri kerana pemikiran
mereka sentiasa dicabar semasa sesi PDP di dalam kelas. Kelas abad ke-21
juga membantu murid untuk bersedia ke alam pekerjaan. Majikan kini amat
mementingkan beberapa aspek, seperti kemahiran komunikasi, mampu
menyelesaikan masalah serta berfikiran kritis dan kreatif bagi
membolehkan individu yang ditemuduga diterima bekerja di syarikat
mereka. Impak-impak ini dilihat dapat memberi kesan positif terhadap
diri murid itu sendiri, sekolah dan juga negara, seiring dengan hasrat
untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai pendidikan yang bertaraf
dunia.
Sumber : https://www.pendidik2u.my/pembelajaran-abad-ke-21-pak21/
MOTO TS25 SKI
KE ARAH KEMENJADIAN MURID DAN SEKOLAH YANG BERKUALITI
No Tel Pejabat: 0332791277
E-Mail : bba3011@moe.edu.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Percubaan UPSR 2018
Assalamualaikum Selamat menduduki Peperiksaan Percubaan UPSR buat anak-anak tahun 6 SKI 2018 6-9 Ogos 2018 (Isnin-Khamis) Maklum...
-
Assalamualaikum Salam TS25 Pengenalan : Transformasi Sekolah 2025 (TS25) Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) bermula pada tahun ...
-
Assalamualaikum Dilampirkan : Terbitan : Biro Dokumentasi TS25 SKI 2018 #selamatmajujaya
-
Assalamualaikum Sahabat-sahabat warga Pendidik yang budiman, Dilampirkan : Bimbingan Pintas Transformasi Sekolah 2025 oleh Pn Norlela...
-
Assalamualaikum Salam TS25 SKI Pada 26-29 Mac 2018 di SMK Seksyen 7 Shah Alam,Selangor, telah diadakan Kursus Modul 2 Transformasi Sekol...
-
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Dilampirkan : Jadual Waktu * B...
-
Assalamualaikum Nama kursus : Kursus TS25 modul 5 kohort 3 Tarikh: 17/10/2018 – 19/10/2018 Tempat: ILKAP Bangi Sasaran: 60 0rang ...
-
Assalamualaikum Sahabat-sahabat yang dihormati, bagi merealisasikan hasrat Transformasi Sekolah ke arah pendidikan abad-21 & TS25, J...
No comments:
Post a Comment